SEBUAH CERITERA HATI

Hello There!

03 April, 2012

Antara Adat dan Ibadat

03 April, 2012

Firman Allah Azzawajalla di dalam surah An-Nisa’ menjadi dalil wajib memberikan mas kahwin di dalam pernikahan:
“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib.” (An-Nisa’: 4)
“Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah dia menjadi isteri kamu), maka berikanlah mas kahwin mereka (dengan sempurna), sebagai satu ketetapan yang diwajibkan oleh Allah.” (An-Nisa’: 24)
Begitu juga terdapat dalil hadis Nabi Muhammad SAW menyebut tentang hal ini:
“Sahal bin Saad r.a berkata: Seorang perempuan datang menemui Nabi SAW dan menyatakan bahawa dia telah menyerahkan urusan dirinya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Nabi bersabda: Aku tidak mempunyai keperluan terhadap perempuan. Seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengannya. Rasulullah SAW menjawab: Berikanlah kepadanya pakaian. Lelaki itu berkata: Aku tidak memilikinya. Rasulullah SAW berkata: Berikanlah kepadanya walau sebentuk cincin besi. Beliau memberitahu bahawa dia juga tidak memiliki sebentuk cincin besi. Nabi bersabda: Adakah engkau mempunyai Al-Quran? Lelaki itu menjawab: Ada ini dan ini. Rasulullah SAW bersabda: Aku kahwinkan engkau dengan perempuan ini dengan mas kahwinnya Al-Quran yang ada pada engkau.”  (Hadis riwayat Bukhari dalam kitab fadilat-fadilat Al-Quran bernombor 4741)
Begitu juga terdapat sebuah hadis lain menyebut bahawa:
Amir bin Rabiah berkata: Seorang perempuan bani Fazarah berkahwin dengan mas kahwin hanya sepasang kasut. Nabi bertanya: Adakah kamu setuju dengan hanya sepasang kasut? Perempuan itu menjawab: Ya. Maka Nabi mengharuskannya.” (Hadis riwayatTirmizi dalam kitab nikah bernombor 1113)
Ramai menyangka bahawa keutamaan dalam meletakkan harga yang tinggi untuk kos mas kahwin adalah perkara utama perlu difikirkan. Mereka seolah-olah melihat mas kahwin merupakan nilai harga bagi seorang perempuan. Ada sesetengah waris seakan merasa hilang maruah bila anaknya mempunyai nilai mas kahwin yang rendah. Tambahan pula jika anak jiran lebih tinggi mas kahwin maka berkobar-kobar lagilah nafsu untuk berlumba. Muncul pula sifat berbangga-bangga akibat mahu mencari publisiti murahan dan mempertahankan kemuliaan keluarga sendiri.
Sedangkan maksud dalam pengertian memberi mas kahwin itu langsung tidak ada kena mengena dengan sifat berbangga dan bermegah-megah mempertahankan adat. Islam meletakkan supaya dengan pemberian mas kahwin oleh golongan lelaki buat para wanita adalah sebagai lambang keinginan untuk berkahwin serta sebagai sebuah pemberian tanda memuliakan wanita itu. Mas kahwin juga menjadi simbolik kepada sebuah ikatan percintaan suci demi membina rumah-tangga yang harmoni.
“Abang ana dulu kahwin mudah ja, tak mahal mana pun..” Cerita kawan saya.
“Yakah? lagumana tu?” Terus saya menyoal tanda berminat untuk mendengar.
“Yalah, abang ana masa tu dia nak pi minang ja..pastu tiba-tiba orang tua suruh pi kahwin terus..selesai macam tu ja..mudah. Bayaq hantaran pun murah ja.”
“Hehehe..” Senyum saya sendiri.
Faktor yang kedua ialah adat. Kata orang biar mati anak jangan mati adat. Wah, sanggup mati anak kerana mempertahankan adat? Andainya adat menyimpang daripada kesyumulan agama bagaimana pula halnya? Islam hampir nazak kini tidak pula mahu mempertahankan. Andai diletakkan anak dan Islam, saya yakin mereka lebih memilih anak dan adat dahulu daripada memilih Islam.
Membicarakan soal adat bukanlah bererti saya menghukum keseluruhannya. Malah, kewujudan adat yang tidak menyimpang dari agama itu tidak menjadi kesalahan besar. Sudah saya jelaskan hal ini dalam entri lepas.
Mahu menjadikannya ibadat atau sekadar pelengkap adat?
Kesan Keterlaluan Dalam Menetapkan Mas Kahwin Yang Tinggi
Manusia tidak pernah fikir tentang kesan baik buruknya sesuatu perkara yang dilakukan. Pernahkah golongan ibu bapa dan wanita berfikir kesannya bila mas kahwin diletakkan pada kadar yang terlalu tinggi?
Saya sengaja bawakan kisah yang terjadi di dalam masyarakat arab Mesir di atas kerana ianya boleh dijadikan batu loncatan dalam bermuhasabah. Apabila sesuatu perkara yang menyimpang daripada agama dan menyusahkan menjadi adat tegar dalam sesebuah masyarakat maka ia pasti mengundang kemudaratan kepada kita. Bukan sahaja menyesakkan dada pihak lelaki, malah wanita itu sendiri akan turut mengalaminya.
Kesan jelas boleh dilihat pada pengamatan mata kasar kini ialah menyebabkan golongan pemuda yang dikategorikan sebagai tidak berkemampuan terhalang daripada mendirikan perkahwinan. Justeru, apabila ini berlaku masyarakat akan melihat bahawa percintaan yang bertunjangkan nafsu semata-mata akan tumbuh melata. Hasilnya, perzinaan berlaku dimana-mana sahaja akibat sukarnya membina rumahtangga. Tidakkah kita celik dengan keadaan yang berlaku kini?
Begitu juga kesan buruk yang berlaku dikalangan wanita akibat penetapan mas kahwin yang terlalu tinggi. Hasilnya, muncul ramai wanita berstatus andartu yang kesepian. Pada bibir mengatakan kesepian itu membawa kedamaian walhal mengundang kedukaan yang berpanjangan. Hati merasa kekosongan kerana berlawanan fitrah insan. Apakah ini memberikan suatu kesan yang positif sedangkan wanita-wanita ini bergolak jiwa dalaman sehingga tidak dapat tidur malam?
Nah, fikirlah ibu bapa yang budiman. Kalian lebih tahu menilai masinnya garam dan manisnya gula!
Dengar dan fahamilah bicara indah Rasulullah SAW dalam memahami naluri kemanusiaan:
“Sesungguhnya perkahwinan yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah mas kahwinnya.” (Hadis riwayat Ahmad 6/82 daripada Saidatina Aisyah r.a)
“Sebaik-baik perkahwinan ialah yang paling mudah.” (Hadis riwayat Abu Daud dalam kitab nikah.”
Keberkatan yang dikurniakan Allah SWT dalam sesebuah perkahwinan tidak akan muncul jika niatnya hanya semata-mata untuk mendapatkan kekayaan hasil meletakkan harga yang tinggi dan bertujuan untuk berbangga kepada sahabat handai dan masyarakat kampung. Mendirikan masjid itu sunnah, namun jika ada unsur-unsur mengundang kemurkaan bagaimana mahu merasai hakikat sunnah yang diberkati.
Dalam hal ini, adalah makruh menurut perspektif syara’ jika meletakkan kadar mas kahwin yang terlalu tinggi.
“Saidina Umar bin Al-Khattab r.a berkata: Janganlah kamu melampau dalam meletakkan mas kahwin. Sekalipun mereka (perempuan) adalah orang yang dipandang tinggi di dunia, ataupun bertaqwa. Orang yang paling layak kamu contohi ialah Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah memberikan mas kahwin kepada isteri-isterinya dan meminta mas kahwin untuk anak-anak perempuannya lebih daripada 12 auqiah (480 dirham).” (Hadis riwayat lima orang pengarang kitab sunan dan disahihkan oleh Tarmizi)
Apakah kita merestui percumanya mendapat zina yang haram sedangkan nikah yang halal begitu tinggi bayaran?
Hati begitu cemburu pada kemungkaran itu.

sumber:http://www.faridrashidi.com/2009/07/07/mas-kahwin-60000/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Peeps here *wink

Sebuah Ceritera Hati © 2014